My Add

Monday 2 January 2012

‘Keputusan di tangan Pengerusi BN’

KUCHING, ISNIN, 02 Januari, 2012: Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe mengulangi hasrat untuk mempertahankan kerusi kawasan itu meskipun tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Menurut Tiki, keputusan akhir siapa calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukannya ditentukan oleh presiden mana-mana anggota parti komponen.

“Kita perlu ingat, parti hanya memainkan peranan menyokong pencalonan.

“Ini kerana akhirnya, hanya dua individu iaitu Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pergerakan Pelatih PLKN siri 9/2012 yang turut dihadiri Komandan Kem PLKN Putra Sentosa, Leftenan Kolonel Rahaman Wok di Dewan Suarah Kuching, di sini semalam.

Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom bulan lalu mengumumkan bahawa Tiki tidak akan dicalonkan semula bertanding di Mas Gading kerana beliau bukan calon boleh menang.

Pengguguran Tiki dipercayai ada kaitan dengan penglibatannya sebagai salah seorang anggota kumpulan penentang Mawan yang dikenali sebagai SPDP 5.

Tiki dalam pada itu berkata, kemenangan beliau di kawasan yang ditandinginya pada PRU terdahulu disebabkan mendapat sokongan padu ahli parti komponen BN yang lain, bukannya undian ahli SPDP semata-mata.

“Keahlian SPDP di kawasan Mas Gading sekitar 5,000 hingga 6,000 sahaja dan jumlah ini tidak memadai jika bukan kerana sokongan parti komponen lain.

“Jadi, sebetulnya, penyokong BN yang mengundi saya dan saya akan memegang mandat ini sehinggalah mendapat isyarat daripada pucuk pimpinan BN,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment