My Add

Monday 2 January 2012

Lagi tentangan kempen bebaskan Anwar 901

GABUNGAN 11 NGO berhimpun secara aman sebelum menyerahkan laporan bagi membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 di IPD Kluang, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU, ISNIN, 02Januari, 2012: Kempen Bebaskan Anwar 901 terus mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk di negeri ini yang mana kebanyakan daripada mereka menyifatkan ia sebagai taktik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melepaskan diri dengan menyalahkan kerajaan atas segala perkara yang tidak menyebelahi beliau.
Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung), Abdullah Md. Yusof meminta semua rakyat negeri ini agar tidak menyahut seruan menyertai demonstrasi jalanan tersebut kerana ia sama seperti perhimpunan Bersih 2.0 yang menimbulkan keadaan huru-hara.

"Sebenarnya ramai orang sudah bosan dengan sebarang perkara berkaitan Anwar, ini adalah antara helah untuk kononnya kekal relevan dalam politik.

"Kempen Bebas Anwar 901 ini sudah tentu menuduh sistem kehakiman tidak adil jika Anwar didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi bersorak jika pemimpin pembangkang itu dibebaskan.

"Syukur ramai rakyat kita yang matang dan tidak terpengaruh dengan ajakan ke jalanan seperti ini. Akan tetapi polis dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi segelintir golongan yang cuba membuat onar, jangan bila mereka dah berhimpun baru bertindak," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Johor Selatan, Teh Kee Sin, sebarang perkara yang menjejaskan keamanan negara adalah tidak digalakkan kerana selain menjejaskan keharmonian ia juga memberi kesan buruk kepada perniagaan.

"Sebagai ahli perniagaan, kami melihat kestabilan negara sebagai perkara penting kerana ia adalah faktor penting yang membawa masuk pelaburan asing. Sedikit sebanyak perusahaan kecil dan sederhana akan terjejas," katanya.

Kee Sin pada masa turut menyeru semua pihak agar bertenang dan menaruh keyakinan pada sistem kehakiman negara.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad berkata, demonstrasi tidak akan mengubah proses perundangan negara dan apa yang cuba dituntut adalah tidak bertepatan dengan asas rukun negara iaitu keluhuran perlembagaan.

"Anwar bersalah atau tidak, ia tidak berkaitan dengan UMNO atau parti politik lain. Jika keputusan mahkamah dipolitikkan pembangkang, maka ia sendiri memberi gambaran apa yang mereka akan lakukan jika ditakdirkan berkuasa nanti," katanya.

Ujar Rohazam, jika demonstrasi jalanan menjadi pilihan setiap kali timbul rasa tidak puas hati maka Malaysia akan menjadi 'negara koboi' kerana setiap salah faham diselesai dengan pertempuran dan pergaduhan. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment