My Add

Sunday, 1 January 2012

Muhyiddin hadiri Rumah Terbuka 1Malaysia PPP

KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyertai kira-kira 5,000 orang daripada berbilang bangsa dan agama menghadiri majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Krismas dan Tahun Baru 2012 anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP). 

Majlis yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini itu turut dihadiri isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Denise D'Cruz.

Majlis yang bermula pada 11 pagi itu turut meraikan 532 kanak-kanak dari rumah kebajikan dan anak yatim dari sekitar Lembah Klang.

Pengunjung disajikan pelbagai juadah serta persembahan tarian dan nyanyian oleh penari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Istana Budaya dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). 

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan komputer netbook 1Malaysia kepada lapan pelajar sekolah menengah yang kurang berkemampuan. 

Muhyidddin, Rais dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas, kemudian memotong kek sebagai simbolik menyambut ketibaan tahun baru 2012. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment