My Add

Saturday 28 January 2012

Nasihat Pas tentang Islam perlu mendapat perkenan MB

SHAH ALAM, SABTU, 28 Januaari, 2012: Penglibatan Pas dalam urusan hal ehwal Islam di Selangor hanya boleh dilakukan jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini memegang portfolio berkenaan membenarkannya berbuat demikian.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman menafikan kedudukan parti itu dalam soal perjuangan Islam terjejas berikutan tiada lagi pemimpin mereka diberikan tanggungjawab menjaga hal ehwal Islam ekoran rombakan portfolio tersebut baru-baru ini.

Kata beliau, situasi sedemikian tidak timbul sama sekali kerana pihaknya masih boleh terlibat dalam urusan hal ehwal Islam di negeri ini daripada segi memberi nasihat atau pun pandangan.

"Tidak ada masalah Menteri Besar memegang jawatan Exco agama. Saya masih ingat kenyataan Abdul Khalid sebelum ini yang menyatakan akan merujuk kepada Pas sekiranya beliau mahu mendapatkan nasihat tertentu.

"Soal sokongan orang Melayu terhadap Pas terjejas, ia tidak timbul kerana keputusan rombakan portfolio itu bukan keputusan Menteri Besar, ia mendapat persetujuan daripada pimpinan Pas pusat," katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Pas telah kehilangan keyakinan dan sokongan khususnya daripada orang Melayu apabila tiada lagi pemimpinnya memegang pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Ia berikutan pengguguran Dr. Hasan Ali daripada Exco Kerajaan Negeri selepas dipecat keahliannya sebagai ahli Pas.

Ekoran itu ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi menggantikan Hasan tetapi tidak lagi memegang portfolio Hal Ehwal Islam.

Beliau hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan negeri.

Sebaliknya, tanggungjawab melibatkan Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri diambil alih oleh Abdul Khalid yang ketika ini turut memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah, Kewangan dan Majlis Tindakan Ekonomi negeri.

Dalam pada itu, mengulas tindakan Hasan yang ketika ini aktif mengadakan ceramah umum mendedahkan hakikat sebenar yang berlaku dalam Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor setelah dipecat daripada Pas, Abdul Rani berkata, ia juga tidak memberi kesan kepada kedudukan Pas di negeri ini.

"Contohnya apabila Hasan buat ceramah di Meru pada 21 Januari lalu, yang datang dekat 1,000 orang. Tetapi kebanyakan yang datang adalah penyokong kita yang nak dengar sendiri apa Hasan cakap dan tidak semestinya mereka menyokong beliau," katanya yang juga ADUN Meru.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Mohd. Ridzwan ketika membaca kenyataan rasmi pada sidang akhbar itu mengecam tindakan Hasan yang didakwanya berpunca selepas ADUN Gombak Setia itu tidak berpuas hati apabila hilang jawatan dan kedudukan dalam Pas.

Beliau mendakwa, oleh kerana tidak mendapat tempat di dalam parti itu, termasuk tidak dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang, Hasan sanggup menidakkan segala yang pernah disokongnya sebelum ini, termasuk membuat tuduhan tidak berasas kepada Pas - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment