My Add

Saturday 28 January 2012

Janji pembangkang resipi kehancuran negara - PM

ARAU, SABTU, 28 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengorbankan kepentingan negara hanya untuk mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi pilihan raya.

Perdana Menteri berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pihaknya sentiasa memastikan kepentingan negara dipelihara dan pada masa sama memastikan usaha jangka pendek dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Kata beliau, dalam mahu meraih sokongan rakyat, kerajaan tidak akan mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan berjanji melakukan segala-galanya seperti dilakukan pembangkang.

''Mungkin kita akan senasib, sebaris dengan beberapa negara lain (di Eropah yang berhadapan masalah ekonomi) jika berjanji (seperti pembangkang).

"Kita bukan hanya nak raih sokongan dalam pilihan raya tetapi tidak mahu merosakkan kepentingan negara pada keseluruhannya. Kita tadbir negara dengan cekap, membina kekuatan dan kemudian memberi keuntungan kepada rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Tinjauan Mesra Rakyat Bersama Perdana Menteri di padang Simpang Empat di sini, semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perdana Menteri berkata, kecekapan kerajaan mengurus ekonomi menyaksikan pendapatan negara pada tahun lalu bertambah sebanyak RM26 bilion.

Katanya, prestasi ekonomi yang memberangsangkan hasil kecekapan pentadbiran kerajaan membolehkan cukai tidak dinaikkan.

''Malah, kita kurangkan lagi (cukai). Bantuan kita tak potong, kita tambah lagi. Subsidi kita kekalkan,'' ujarnya.

Perdana Menteri menambah, ini berbeza dengan parti pembangkang yang hanya boleh berjanji, malah janji mereka tiada hadnya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas itu, Najib menyifatkan janji-janji pembangkang seperti ingin menghapuskan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga minyak sebagai tidak realistik.

Malah, Perdana Menteri menegaskan, janji-janji tersebut merupakan resipi kepada kehancuran ekonomi negara.

"Tidak realistik kalau hendak hapuskan tol dan PTPTN. Hutang PTPTN banyak, ada RM40 bilion sekarang. Pada masa akan datang, semua pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) kalau dapat PTPTN akan minta supaya hapus kira.

"Ini resipi untuk kehancuran ekonomi. Tak payah pakar ekonomi, orang biasa pun boleh fikir ia akan bawa kehancuran ekonomi," katanya.

Menurut Najib, dengan pertambahan hasil negara, kerajaan mampu mengagihkan keuntungan kepada rakyat menerusi pelbagai program tanpa perlu membuat pinjaman sama ada dari dalam atau luar negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment