My Add

Saturday 28 January 2012

Pakaian PLKN mudah koyak?

AHMAD Zahid Hamidi bersalaman dengan salah seorang pelatih pada Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Sibu, Sarawak, semalam.

Oleh ZAAIN ZIN

SIBU, SABTU, 28 Januari, 2012: Kementerian Pertahanan memandang serius isu peralatan tidak berkualiti yang dibekalkan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk memotong bayaran kepada pembekal yang terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun isu berkenaan adalah masalah terpencil dan tidak perlu diperbesarkan.

“Ia cuma masalah terpencil dan secara kebetulan kita akan mengeluarkan tender baru dalam masa terdekat.

“Jika ada sebarang kerosakan, kita akan cari penyelesaiannya termasuk meminta ganti yang baru atau mengurangkan bayaran kepada pembekal tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Junaco Park di sini, semalam.

Beliau mengulas rungutan peserta PLKN tentang peralatan tidak berkualiti yang dibekalkan kepada mereka seperti pakaian seragam yang mudah koyak.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar; Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberitahu, Briged Sukarela PLKN yang pernah diumumkan penubuhannya sebelum ini dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tasik Chini, Pahang pada 4 Februari depan.

Setakat ini, katanya, hampir 15,000 alumni PLKN mengisi borang untuk menganggotai briged tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment