My Add

Monday 2 January 2012

Pasir Puteh dilanda banjir kilat

Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH, ISNIN, 02 Januari, 2012: Seramai 98 mangsa banjir dari 21 keluarga di empat kampung di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan, setelah rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mangsa terbabit dipindahkan dalam operasi menyelamat pada pagi ini dan ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Beliau berkata, pusat pemindahan tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil yang menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang dengan 18 mangsa daripada tujuh keluarga serta SK Kampung Nara yang menerima 60 mangsa daripada 11 keluarga.

"Ini berikutan kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut, Kampung Bukit Awang dan Kampung Nara dinaiki air sedalam satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang lumpuh yang dihantarkan ke Hospital Tengku Anis di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan termasuk jalan utama dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Bharu.

Seorang mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di SMK Kamil, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata, halaman rumahnya di Kampung Wakaf Bukut dekat sini, dinaiki air hampir paras dada pada pukul tiga pagi ini.

"Air naik secara mendadak akibat hujan lebat dan kami tidak tidur malam tadi sehingga dipindahkan oleh pasukan penyelamat menggunakan bot," katanya yang lumpuh.

Jurucakap Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata, paras air di Sungai Semerak pada pukul 10 pagi ini mencatatkan bacaan 2.4 meter iaitu di peringkat berjaga-jaga. - UM

No comments:

Post a Comment