My Add

Saturday 28 January 2012

Penduduk tuntut bayaran pampasan tanah lebih adil

PASIR PUTEH, SABTU,  28 Januari, 2012: Seramai 16 penduduk Tok Bali mendesak kerajaan Kelantan berlaku adil dengan membayar pampasan mengikut penilaian semasa terhadap tanah mereka yang diambil untuk projek pembinaan jeti.

Kerajaan negeri bercadang membangunkan projek itu menerusi sebuah syarikat swasta membabitkan kawasan lebih 20 hektar dengan menawarkan pampasan RM70,000 bagi setiap 0.46 hektar kepada mereka yang mempunyai geran hak milik tanah, berbanding harga semasa antara RM200,000 hingga RM300,000.

Mat Yaakub Abdullah, 54, pemilik tanah seluas 0.8 hektar di kawasan itu berkata, apa yang menyedihkan, mereka yang tidak mempunyai geran hanya ditawarkan bayaran antara RM2,000 hingga RM8,000 sebagai sagu hati.

Ramlah Samat, 60, pemilik tanah seluas 0.46 hektar pula mendakwa tanah pusaka yang diwarisi daripada bapanya, hanya ditawarkan pampasan sebanyak RM8,000.

"Pihak terbabit tidak pernah berunding dengan saya sebelum ini dan sedar-sedar, tanah saya sudah dipagar bagi tujuan pembangunan,” katanya kepada pemberita.

Tapak pembinaan itu terletak berdekatan muara Tok Bali dan projek pemecah ombak, yang dianggap kawasan strategik serta berpotensi bagi tujuan komersial, termasuk membina hotel. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment