My Add

Saturday 28 January 2012

Usahawan bumiputera perlu lihat potensi produk halal

BUTTERWORTH, SABTU,  28 Januari, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru usahawan bumiputera melihat potensi produk halal kerana mempunyai nilai tambah yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, selain produk, sijil halal juga mempunyai daya tarikan yang tinggi kerana pengguna, termasuk di kalangan bukan Islam, turut meyakini tahap kebersihan dan keselamatan produk halal.

"Produk halal yang mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai nilai integriti yang tinggi dan diterima baik oleh pasaran termasuk di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sarung kosong kapsul halal keluaran Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn Bhd di sini hari ini.

Jamil turut memuji langkah syarikat itu mengeluarkan sarung kapsul halal kerana ramai pengguna di kalangan umat Islam menyedari kepentingan bahan halal dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Kadhar Shah Abdul Razak berkata, inisiatif menghasilkan kapsul tersebut adalah atas kesedaran bahawa status halal kebanyakan produk sedia ada di pasaran meragukan.

"Kilang ini ditubuhkan berdasarkan keraguan terhadap bahan utama gelatin yang dibeli dari luar negara kerana ia diperoleh daripada tulang haiwan hingga menimbulkan persoalan adakah tulang haiwan yang digunakan disembelih mengikut hukum syarak atau tidak,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment