My Add

Saturday 28 January 2012

Peruntukan RM5.1 juta untuk rakyat Perlis


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan peniaga ketika melawat Pasar Sehari Behor Lateh di Kangar, hari ini. - Foto Ezairi Samsuddin


ARAU, SABTU, 28 Januari, 2012: Lawatan sehari Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini hari ini membawa 'tuah' kepada rakyat Perlis, termasuk peniaga dan golongan petani apabila Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.1 juta untuk mereka.

Sewaktu meninjau Pasar Sehari Behor Lateh dekat sini, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi memperbaiki pasar berkenaan termasuk membina bumbung gerai peniaga di kawasan tersebut.

Menurut Perdana Menteri, beliau bersimpati dengan para peniaga yang hanya berteduh daripada panas dan hujan di bawah payung sewaktu berniaga di pasar tersebut.

"Jadi, apa salahnya kita membantu golongan peniaga terlibat supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih selesa," katanya dalam ucapan ringkas ketika melawat pasar tersebut semalam.

Pasar Sehari Behor Lateh yang dikendalikan Pertubuhan Peladang Kawasan B-1 MADA Kayang mula beroperasi pada Mac 1991 di atas kawasan seluas 0.5 hektar dan menempatkan kira-kira 100 peniaga.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penduduk pada program Tinjauan Mesra Rakyat Bersama Perdana Menteri di Simpang Empat di sini, Najib mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk membantu meringankan beban petani yang menghadapi masalah ekoran serangan padi angin.

Peruntukan tersebut adalah satu daripada lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Shahidan dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri.

"Daripada lapan tuntutan, saya berilah peruntukan RM4 juta untuk membantu petani yang menghadapi masalah serangan padi angin, manakala yang lain-lain terpaksa diteliti dahulu termasuk oleh pihak kementerian berkaitan.

"Lagipun kerajaan terpaksa melihat secara keseluruhan untuk membantu rakyat di seluruh negara," kata beliau.

Najib yang kemudiannya bersolat Jumaat di Masjid Bongor Kudong juga berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bentuk bantuan yang dapat meningkatkan taraf masjid berkenaan.

Sementara itu, dalam lawatannya ke Felda Chuping, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM900,000 bagi meningkatkan prasarana termasuk memperbaiki masjid dan saliran di tanah rancangan berkenaan, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Air di Padang Besar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment