My Add

Monday 2 January 2012

Ramai ibu bapa rayu hantar anak ke PLKN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Januari, 2012: Perubahan sikap positif yang ditonjolkan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKM) menyebabkan ramai ibu bapa kini merayu untuk menghantar anak-anak mereka menyertai program itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, bekas-bekas pelatih program itu menunjukkan sikap yang positif berbanding semasa zaman belajar dahulu.

"Mereka juga kini mampu berdikari dan mempunyai sikap yang lebih patriotik," katanya pada majlis pelancaran Pergerakan Pelatih Program PLKN Siri 9/2012, di sini semalam.

Bagi PLKN siri 9/2012, jumlah pelatih di seluruh negara yang didaftarkan ialah seramai 140,000 orang dengan Kumpulan 1 siri itu melibatkan 43,896 pelatih akan memulakan latihan di 81 kem di seluruh negara bermula hari ini, esok dan lusa.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Menurut Ahmad Zahid, kesan daripada pembangunan personaliti dan kebolehan berdikari itu menyebabkan ramai ibu bapa mula menyedari kebaikan program tersebut.

Keadaan itu katanya, jauh berbeza semasa peringkat awal PLKN diperkenalkan oleh kerajaan.

"Dalam masa tiga tahun pertama pelancaran PLKN, saya dan Ketua Pengarah JLKN terima tidak kurang daripada 15 hingga 20 peratus permohonan penjaga yang mahu menangguh dan mengecualikan anak- anak mereka daripada PLKN.

"Tapi kini kami terima lebih banyak rayuan daripada ibu bapa yang ingin masukkan anak mereka ke dalam PLKN," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, JLKN masih mempertimbangkan permohonan rayuan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Mengikut Akta PLKN, pembatalan tidak boleh dikemukakan tetapi penangguhan boleh dipertimbangkan," katanya.

Beliau turut mengumumkan pelancaran Briged Sukarelawan Khidmat Negara yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Chini, Pahang pada awal bulan depan. - UM

No comments:

Post a Comment