My Add

Monday 2 January 2012

Mangsa banjir di Perlis meningkat

KANGAR, ISNIN, 02 Januari, 2012: Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di Perlis meningkat kepada 557 orang sehingga pukul 8 pagi ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Abdullah Ali berkata, mereka adalah daripada 165 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan yang beroperasi sejak semalam.

Semalam, 278 orang daripada 73 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan dan malam tadi dua lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan keseluruhannya enam pusat peminahan.

Banjir melanda Perlis sejak semalam berikutan hujan lebat di utara Perlis bermula tengah malam semalam.

Pusat-pusat pemindahan yang dibuka ialah di dewan Kampung Kok Mak, Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Dewan Setia Padang Melaka, SK Batu Bertangkup, Dewan Kampung Panggas Besar dan surau Panggas Kecil.

Katanya, anggota penyelamat termasuk polis, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan para sukarelawan sentiasa memantau keadaan bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Abdullah berkata, pengurusan mangsa banjir berjalan lancar apabila kira-kira 150 anggota pertubuhan sukarela turut membantu menghulurkan tenaga mereka selain jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di kawasan terbabit banjir.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim serta Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh bergerak secara bersama ke pusat-pusat pemindahan banjir malam tadi bagi menghulurkan sumbangan. 

Di Terengganu tidak banyak berubah

Keadaan banjir di Besut dan Setiu di Terengganu tidak banyak berubah dengan 586 mangsa masih berada di pusat pemindahan pagi ini berbanding 807 orang petang semalam.

Daripada jumlah itu, 460 orang yang melibatkan 104 keluarga berada di pusat-pusar pemindahan di Besut dan 126 orang membabitkan 33 keluarga pula di Setiu.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, sehingga pukul 9 pagi ini, lapan pusat pemindahan dibuka iaitu lima buah di Besut dan tiga di Setiu.

Di Besut, pusat pemindahan itu ialah di Balai Serbaguna Kampung Pengkalan Kubur menempatkan seramai 17 orang mangsa, Sekolah Bukit Tempurung (14), pusat pemindahan dalam pasar Renek (25), surau asrama Perkaya (203) dan Surau Kayu Kelat (71).

Sementara pusat pemindahan di Setiu pula ialah di Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (39), Masjid Guntong Luar (73) dan Dewan Sivik Desa Jaya (14) orang.

Banjir musim tengkujuh yang melanda Terengganu semalam berikutan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan paras air sungai di negeri ini meningkat.

Menurut portal itu, hujan telah berhenti di Terengganu sejak petang semalam dan setakat ini semua jalan boleh dilalui di negeri ini. 

Di Segamat makin pulih, 60 mangsa di pusat pemindahan

Banjir di Segamat semakin pulih dengan seramai 60 mangsa masih berada di tiga pusat pemindahan, setakat pagi ini.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 10, kesemua mangsa melibatkan 10 keluarga itu ditempatkan di Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak dan Kampung Pogoh.

Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat masih melebihi aras amaran dengan 8.81 meter dan 17.07 meter.

Penduduk di kawasan berkenaan diminta berjaga-jaga. —BERNAMA


No comments:

Post a Comment