My Add

Saturday 28 January 2012

Sekolah agama asrama penuh di Putrajaya

PUTRAJAYA, SABTU, 28 Januari, 2012: Sebuah sekolah agama berasrama penuh dengan kemudahan 25 buah bilik darjah membabitkan kos pembinaan RM55 juta bakal dibina di tapak seluas 1.6 hektar di Presint 11 di sini tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya yang baru itu mampu menempatkan 750 pelajar itu akan memberi kelegaan kepada lebih 217 pelajar tingkatan satu dan dua yang kini terpaksa menumpang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah bersetuju memohon kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan projek tersebut dalam permulaan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Saya berharap dengan kemudahan ini nanti pelajar kita di kalangan anak-anak Islam dapat belajar dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat khas UMNO Bahagian Putrajaya di sini, semalam.


Pada masa ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya menumpang di SMK Putrajaya Presint 11 (2) dan sejak dibuka pada 4 Januari tahun lalu, bilangan pelajarnya semakin meningkat tahun ini.

SMKA Putrajaya akan dibina di atas tanah milik Kementerian Pelajaran di Jalan P11C, Presint 11.

Menurut Muhyiddin, sekiranya terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk menempatkan anak mereka di sekolah tersebut, sekolah baru akan dibina mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mengumumkan Pejabat Pelajaran Putrajaya akan dinaik taraf sebagai Jabatan Pelajaran Putrajaya seperti di Wilayah Persekutuan dalam tempoh terdekat.

"Jabatan Pelajaran Putrajaya akan ada pengarahnya sendiri dan kita akan laksanakan secepat mungkin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment