My Add

Saturday 28 January 2012

TUDM dedah pelajar teknologi penerbangan

TEMERLOH, SABTU, 28 Januari, 2012: Pelajar sekolah menengah terpilih di seluruh negara akan didedahkan dengan teknologi terkini dalam industri penerbangan sebagai usaha menggalakkan generasi muda memilih kerjaya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud berkata, program yang akan dijalankan tidak lama lagi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu melibatkan beberapa sekolah yang terletak berdekatan Pangkalan Udara TUDM.

Katanya, pelajar terlibat akan berpeluang mengetahui perkembangan bidang penerbangan yang kini semakin banyak menggunakan teknologi digital termasuk dalam sektor pertahanan udara dan radar.

‘‘Inisiatif tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TUDM bagi membentuk generasi pelapis yang akan mengendalikan teknologi tersebut pada masa depan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Khidmat Negara Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Arena Resort di sini, semalam.

Menurut Rodzali, melalui program itu juga, pelajar yang menunjukkan minat untuk menyertai kerjaya bersama TUDM akan dipilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

‘‘Program ini membuka peluang terbaik bagi mereka yang berminat menyertai TUDM. Kami akan menyimpan maklumat peribadi mereka dalam pangkalan data dan apabila lulus cemerlang mereka akan ditawarkan melanjutkan pelajaran di UPNM,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Rodzali mengingatkan pelatih PLKN bahawa disiplin adalah asas utama dalam menentukan sama ada mereka mampu mencapai apa juga cita-cita selama ini atau sebaliknya.

Beliau memberitahu, mereka dipilih menyertai program PLKN adalah golongan bertuah kerana dididik menjalani kehidupan dengan disiplin bagi meningkatkan semangat jati diri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment