My Add

Saturday 28 January 2012

Tambahan subsidi gula diteruskan

ISMAIL Sabri (dua dari kiri) merasmikan pelancaran Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik Suruhanjaya Syarikat Malaysia 3/2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh LAILI ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR, SABTU. 28 Januri, 2012: Kerajaan terpaksa menanggung tambahan subsidi gula berjumlah RM567 juta atau kenaikan antara 20 sen dan 54 sen sekilogram tahun ini untuk mengurangkan beban kenaikan harganya kepada pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga gula di pasaran dunia telah meningkat dengan banyak pada ketika ini dan menafikan pemberian subsidi itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya yang bakal tiba.

“Ia tiada kena mengena dengan pilihan raya, saya pun tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, tetapi harga gula dunia telah meningkat dengan banyak pada ketika ini.

“Subsidi tambahan adalah langkah perlu bagi mengelakkan kesan domino kepada semua harga makanan sekiranya harga gula dinaikkan,’’ katanya selepas melancarkan Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik Suruhanjaya Syarikat Malaysia 3/2012 di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai ladang tebu di Perlis, ia hanya mampu menyumbang satu peratus sahaja kepada keperluan tempatan, sekali gus menyebabkan negara terpaksa mengimport 99 peratus gula daripada luar negara termasuklah Brazil, Australia dan Thailand.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat peningkatan aktiviti penyeludupan berikutan pengekalan harga gula di Malaysia, Ismail Sabri berkata, ia bergantung kepada penguatkuasaan yang dijalankan.

“Itu terserah kepada pihak berkuasa untuk menghalangnya kerana tindakan kerajaan adalah mengekalkan harga gula untuk mengurangkan beban rakyat, kalau dilihat pada Thailand, negara tersebut adalah negara pengeluar gula ketiga terbesar tetapi harga gulanya tetap juga mahal,” ujar beliau lagi.

Katanya, keputusan untuk mengekalkan harga gula RM2.30 sekilogram dibuat semasa mesyuarat Kabinet sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment