My Add

Sunday 1 January 2012

Undi ahli SPDP tidak cukup menangkan BN di Mas Gading

KUCHING, AHAD, 01 Januari, 2012: Undi ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semata-mata tidak mencukupi untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) di Mas Gading, kata Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Dr. Tiki Lafe hari ini.

Beliau berkata, oleh kerana anggota SPDP di kawasan parlimen berkenaan hanya berjumlah antara 5,000 dan 6,000 orang, BN memerlukan sokongan semua anggota parti komponennya untuk memenangi kerusi majoriti kaum Bidayuh itu.

"Pada dasarnya, Barisan Nasionallah yang memilih kami. Maka, sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh Barisan Nasional, saya akan melaksanakan mandat itu sehinggalah kami mendapat isyarat daripada kepimpinan tertinggi,” katanya kepada pemberita di sini.

Bekas naib presiden SPDP ini, tidak sehaluan dengan presiden parti Tan Sri William Mawan sejak tahun lepas apabila beliau dan empat wakil rakyat lain mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mawan.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri, yang dipecat daripada parti itu November lepas, ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, ADUN Bekenu, Rossey Yunus dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Mawan dilaporkan berkata, Tiki tidak akan dicalon semula untuk bertanding di Mas Gading pada pilihan raya umum akan datang dan parti itu mempunyai sekurang-kurangnya empat calon berpotensi untuk bertanding di situ.

Sambil menegaskan kesediaan beliau untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi kawasan Mas Gading, Tiki mengulas kenyataan Mawan itu dengan berkata, peranan SPDP hanyalah merestui pencalonan.

"Keputusan muktamad terletak di tangan dua orang saja — Ketua Menteri (yang juga Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud) dan Perdana Menteri (yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak),” kata Ahli Parlimen tiga penggal itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment