My Add

Sunday, 1 January 2012

Cerai: Jabatan agama tidak sepatutnya buntu

KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Pihak berkuasa agama tidak sepatutnya buntu dalam menangani masalah perceraian pasangan Islam, sebaliknya mereka perlu mendapatkan maklum balas daripada bakal pengantin bagi menilai keberkesanan kursus pra perkahwinan yang dijalankan.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, dengan cara itu pihak terbabit dapat mengkaji semula modul kursus pra perkahwinan yang dijalankan serta merangka kursus selepas perkahwinan bagi pasangan yang baharu berkahwin dan pasangan bermasalah.

Katanya, langkah itu dilihat dapat membantu memberi pendedahan kepada pasangan baru berkahwin mengenai tanggungjawab, kehidupan rumahtangga dan alam perkahwinan.

“Dengan adanya kursus itu, ia sedikit sebanyak dapat memberi jalan keluar kepada pasangan yang bermasalah agar mereka tahu ke mana harus dituju bagi mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

“Langkah ini bagaimanapun tidak semestinya dilaksanakan di peringkat jabatan agama kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga boleh bersama mengekang masalah ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai jabatan agama yang seakan-akan menemui jalan buntu bagi menyelesaikan masalah penceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat.

Tambah Juanda, isu penceraian tidak seharusnya diberi penekanan tetapi kesan penceraian itu yang harus diambil berat.

“Itu semua jodoh dan kita janganlah memandang penceraian sebagai gejala negatif. Adalah lebih baik untuk kita menumpukan kepada kesannya,” katanya. - MM

No comments:

Post a Comment