My Add

Sunday, 1 January 2012

Mahasiswa perlu utamakan peperiksaan

KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Golongan mahasiswa diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini yang bersamaan dengan minggu peperiksaan di kebanyakan universiti di negara ini.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Mustafa Ishak berkata, tanpa sebarang manfaat yang jelas, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti itu seolah-olah memperjudikan masa depan mereka.

"Peperiksaan akhir semester selama dua minggu sudah bermula, jangan korbankan masa depan dengan menyertai demonstrasi kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada peperiksaan dan sebagai penuntut mereka harus hargai peluang berada di universiti," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Mustafa seterusnya mengingatkan bahawa mahasiswa yang bijak dan matang seharusnya memahami motif sebenar di sebalik penganjuran perhimpunan itu.

Beliau berkata, mahasiswa juga harus faham bahawa kes jenayah tidak boleh diselesaikan secara berdemonstrasi.

"Jangan biarkan diri dijadikan seperti 'lembu yang dicucuk hidung' oleh kumpulan dan penyokong-penyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Keputusan mahkamah tidak boleh digugat dengan cara berdemonstrasi. Kalau tak puas hati ia mesti dibuat melalui rayuan kerana itu prosedur perundangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada mahasiswa UUM yang menyertai demonstrasi anjuran pembangkang itu bahawa mereka bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib.

"Pihak universiti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana penuntut yang didapati mencemar nama baik UUM," katanya.

Pandangan sama turut dinyatakan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah yang berkata, penglibatan penuntut dalam demonstrasi hanya menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

"Kita tidak salahkan mahasiswa sepenuhnya kerana pihak yang menggunakan mereka juga perlu bertanggungjawab," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment