My Add

Sunday 1 January 2012

Gesa SPRM dedah hasil siasatan Ariffahmi

KOTA BHARU, AHAD, 01 Januari, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) terus didesak supaya mendedahkan hasil siasatan dakwaan penyelewengan membabitkan menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, SPRM perlu menyatakan kepada rakyat Kelantan hasil siasatan kes membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu.

Beliau berkata, penjelasan SPRM dapat menghentikan teka-teki dalam kalangan masyarakat mengenai Abdul Ariffahmi yang mempunyai kedudukan kerana beliau merupakan menantu kepada ketua pentadbiran kerajaan negeri, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kes beliau membabitkan kepentingan awam dan rakyat Kelantan berhak tahu apa hasil siasatan SPRM terhadap kes beliau, jangan senyapkan begitu sahaja sehingga mengundang pelbagai tanggapan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini iaitu Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) dan Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) mempersoalkan kenapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil oleh suruhanjaya tersebut berhubung siasatan terhadap menantu Mursyidul Am Pas itu.

Justeru, kedua-dua NGO terbabit, mendesak agar SPRM memaklumkan kepada umum sekiranya Abdul Ariffahmi bersalah atau tidak berhubung dakwaan berlaku penyelewengan ketika menjadi CEO PMBK.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebagai sebuah badan yang berintegriti, SPRM perlu mengumumkan hasil siasatan kes berkenaan untuk kepentingan rakyat Kelantan.

"Kes tersebut berkepentingan umum dan rakyat Kelantan tertanya-tanya sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya. SPRM kena jelaskan, sehingga sekarang senyap sahaja," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment