Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berterusan melakukan siasatan terhadap penyelewengan yang membabitkan pelbagai pihak.
Setiausaha Agungnya, Syed Hasan Syed Ali berkata, siasatan perlu dilakukan sepanjang masa tanpa mengira siapa pelakunya.
“Rakyat dan negara akan mengalami kerugian jika penyelewengan dan amalan rasuah berterusan dan kita berharap semua yang terbabit dapat didakwa dengan segera.
“Perkasa memuji dan mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana berjaya membongkar penyelewengan membabitkan projek-projek mega seperti Iskandar Malaysia.
“Dengan hukuman yang keras sahaja boleh mengurangkan kadar rasuah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Tambah Syed Hasan, SPRM juga perlu menyiasat dakwaan seorang penulis blog yang mendedahkan seorang wakil rakyat DAP dikatakan memberi kontrak kepada syarikat milik isterinya.
“Begitu juga dengan dakwaan membabitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sepatutnya tidak membuat tuntutan perubatan malah tidak layak menerimanya,” katanya. - MM
No comments:
Post a Comment