My Add

Sunday, 1 January 2012

Jamal semakin yakin kawal diri dari kembali ke ‘dunia gelap’


KUALA TERENGGANU, AHAD, 01 Januari, 2012: Selepas hampir dua bulan meninggalkan Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Jamal Abdillah, semakin yakin mampu mengawal diri daripada kembali ke ‘dunia gelap’.

Raja pop yang masih mengekalkan kehebatan vokalnya itu mengakui Pengasih sudah banyak membantunya selama ini sehingga berjaya memulihkannya dan kembali menjalani hidup normal.

“Apa pun masalahnya, saya memang kena berterima kasih, bersyukur dan saya akui tanpa Pengasih, saya tidak akan sihat seperti sekarang.

“Tetapi walaupun saya sudah tinggal di luar (rumah Pengasih) sekarang saya yakin boleh kawal diri,” katanya.

Jamal sebelum ini membuat pengakuan bahawa punca beliau keluar dari rumah Pengasih awal November lalu selepas kira-kira lima tahun kerana timbul masalah hubungannya dengan pihak Pengasih.

Beliau ditemui pada majlis Makan Malam dan Konsert Jamal Abdillah di Hotel Permai, di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 peminatnya.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Hotel Permai, Leftenan Jeneral(B) Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar dan Pengurus Besarnya, Azman Ali, Jamal menyampaikan 12 buah lagu.

Jamal mendendangkan lagu Seniman Menangis, Sendiri, Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Aku Penghibur, Di Sudut Kamar Hatimu, Kalu Lupa Janji, Gadis Melayu, Sandarkan Pada Kenangan, Tidurlah Wahai Permaisuri, Seroja dan Terharu.

Sementara itu, Wan Abu Bakar memberitahu, pihaknya berhasrat untuk membawa Jamal ke Terengganu pertengahan tahun depan untuk satu lagi konsert yang lebih besar.

“Idea Jamal untuk buat persembahan dikir barat juga adalah satu cadangan yang sangat baik,” katanya yang berpuas hati dengan persembahan Jamal. - MM

No comments:

Post a Comment