My Add

Sunday, 1 January 2012

Nurul Izzah terlalu mentah untuk jadi PM

 KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Januari, 2012: Masa depan negara tidak boleh diperjudikan dengan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada mereka yang terlalu mentah seperti Nurul Izzah Anwar.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kriteria pemilihan pemimpin nombor satu negara adalah berasaskan kepada kemampuannya untuk menjamin masa depan rakyat.

"Asasnya, mana-mana ketua parti yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen layak menjadi Perdana Menteri dan mereka berhak mengemukakan sesiapa sahaja.

"Tetapi ini tidak bermakna ia dilakukan untuk meraih simpati orang ramai. Rakyat dan masa depan negara perlu diberikan keutamaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang menonjolkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah sebagai calon Perdana Menteri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum PRU Ke-13 nanti.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang menyatakan penonjolan Nurul Izzah itu adalah taktik terbaru yang dirancang oleh pakatan pembangkang untuk meraih simpati rakyat.

Menurut Mohamed Mustafa, Nurul Izzah merupakan pemimpin yang masih mentah serta kurang dalam serba-serbi bagi memegang jawatan itu.

"Menjadi Perdana Menteri bukanlah seperti memimpin persatuan kecil, ia memerlukan individu yang benar-benar berwibawa, jadi rakyat harus berfikir untuk memilihnya," ujarnya.

Pensyarah Politik dan Kerajaan, Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayun Jawan pula berkata, tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan parti pembangkang sudah ketiadaan pemimpin yang berkaliber.

"Perkara ini menjatuhkan lagi harapan PKR untuk memenangi pilihan raya. Masih ramai calon berwibawa yang mereka ada tetapi budak-budak pula dicalonkan bagi menjadi Perdana Menteri," ujarnya.

Tambah beliau, perbuatan itu juga seolah-olah pembangkang sudah yakin bakal 'kehilangan' Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa Nurul Izzah apabila kes liwat beliau diputuskan pada 9 Januari ini. - MM

No comments:

Post a Comment