My Add

Sunday, 1 January 2012

Sokongan terhadap BBSMS makin mantap

ALOR SETAR, AHAD, 01 Januari, 2012: Lebih 1,000 umat Islam menghadiri program Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah, di sini yang bertujuan memohon dan memperkukuhkan usaha mempertahankan madrasah berusia lebih 100 tahun itu daripada dirobohkan.

Meskipun program anjuran Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) itu sebelum ini cuba dihalang oleh pihak tertentu, ia tidak menghalang peserta hadir bagi menyatakan sokongan dan mendengar penerangan mengenai isu yang melanda madrasah tersebut.

Program selama lima jam bermula pukul 12 tengah hari di pekarangan madrasah itu berjalan lancar dengan orang ramai silih berganti menghadirinya secara persendirian, bersama keluarga atau berkumpulan.

Pada majlis itu, lebih 50 tetamu termasuk jawatankuasa madrasah berkenaan turut bersama-sama menunaikan solat zuhur dan hajat berjemaah.

Tetamu yang hadir juga berkesempatan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya mengenai kemuliaan berjihad.

Menerusi program itu, sokongan orang ramai terhadap usaha BBSMS mempertahankan kewujudan Madrasah Salihiah dibuktikan apabila mereka secara sukarela menurunkan tandatangan menyokong usaha berkenaan.

Pengerusi BBSMS, Mansor Ahmad berkata, kehadiran orang ramai ke program tersebut amat memberangsangkan dan menepati sasaran mereka iaitu lebih 1,000 orang yang sekali gus mengukuhkan lagi perjuangan BBSMS untuk mempertahankan Madrasah Salihiah.

Menurutya, program berkenaan bukan menentang atau membantah keputusan Majlis Fatwa Kedah tetapi sebagai usaha memohon agar kerajaan Pas Kedah memikirkan kembali keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah bagi tujuan pembinaan sebuah kompleks membeli belah.

Mansor memberitahu, tanda sokongan orang ramai terhadap usaha mereka itu juga dapat dilihat apabila sehingga kini BBSMS menerima dan mengumpul kira-kira 10,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tandatangan menerusi kempen yang dijalankan sejak seminggu lalu.

Katanya, jumlah sokongan yang dikumpul itu bukan rekaan kerana mereka yang menghantar sms atau menurunkan tandatangan mempunayi nombor telefon atau nama masing-masing sebagai bukti. - MM

No comments:

Post a Comment