SEBAHAGIAN jemaah mengaminkan doa selepas solat sunat hajat pada program Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah anjuran BBSMS di Alor Setar, Kedah, semalam.
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
ALOR SETAR, AHAD, 01 JANUARI, 2012: Isu merobohkan Madrasah Salihiah, di sini yang dibenarkan oleh kerajaan negeri bagi memberi laluan kepada projek pembangunan boleh diselesaikan dengan campur tangan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuwan Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya berkata, selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, penglibatan Sultan Kedah membolehkan isu berkenaan yang semakin berlarutan menemui titik penyelesaian.
"Campur tangan Ketua Agama Islam memainkan peranan yang sangat penting untuk meredakan keadaan dan juga memastikan hak masing-masing dapat disempurnakan sebaik-baiknya.
"Saya kira apa juga keputusan nanti akan dapat diterima kedua-dua belah pihak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah mengenai kemuliaan berjihad pada program Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah anjuran Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) di sini semalam.
Keputusan kerajaan Pas Kedah yang membenarkan Madrasah Salihiah di tapak tanah wakaf berkeluasan 0.08 hektar dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks beli-belah menjadi isu panas dan berpanjangan apabila jawatan kuasa madrasah itu menentang keputusan berkenaan.
Fathul Bari berkata, isu tersebut jelas bukan bermotifkan politik atau dibangkitkan kerana emosi tetapi bersandarkan semangat kesedaran yang ditonjolkan oleh masyarakat setempat dalam mempertahankan kewujudan madrasah yang menjadi tempat memartabatkan syiar Islam.
Justeru, katanya, ia harus ditangani dengan cara yang matang tanpa provokasi antara kedua-dua belah pihak dengan mengadakan perbincangan ke arah perdamaian.
Beliau berkata, pihak kerajaan negeri perlu membuka ruang dan bersikap terbuka untuk mendengar luahan hati ahli kariah madrasah itu.
"Walau apa pun keputusannya, kerajaan negeri harus memberi peluang kepada ahli kariah mengemukakan cadangan dan pandangan mereka.
"Jika perkara ini berterusan dengan kedua-dua belah belah membuat kenyataan akhbar, ia tidak manis kerana boleh menimbulkan percakaran antara umat Islam," katanya yang menegaskan kehadiran beliau ke program tersebut bukan kerana politik tetapi bagi memberi sokongan moral kepada ahli kariah di situ.
Dalam pada itu, Pengerusi BBSMS, Mansor Ahmad berkata, pihaknya sedang mempersiapkan memorandum bantahan untuk diserahkan kepada Sultan Kedah pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Menurutnya lagi, ahli kariah madrasah tidak pernah diberi peluang untuk berbincang dengan kerajaan negeri berhubung keputusan merobohkan bangunan tersebut untuk pembinaan kompleks membeli belah.
"Kami tidak diberi peluang untuk berbincang, hanya dijemput sebagai pendengar. Pampasan yang diberikan oleh pemaju hanya diterima oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
"Baru-baru ini kami menerima satu surat yang menyatakan MAIK memohon Pejabat Tanah Kota Setar menangguhkan pengosongan bangunan surau ini sehingga satu perjumpaan diadakan bagi membincangkan isu yang dibangkitkan. Sehingga hari ini kami menunggu tetapi masih tiada perbincangan," katanya. - MM
No comments:
Post a Comment