My Add

Sunday 29 January 2012

200 ahli Pas keluar parti

MOHD. Isa Samad menerima 200 borang permohonan bekas ahli Pas daripada Rasidi Sobri sambil diperhatikan Mohd. Tajudin Abdulah (tiga dari kanan) untuk menyertai UMNO di Sik, Kedah, kelmarin. – BERNAMA

Oleh AZMAN MD NOOR

SIK, AHAD, 29 Januari, 2012: Seramai 200 ahli Pas Felda Teloi Timur di sini mengambil tindakan keluar parti selepas kecewa dengan perjuangan parti itu yang dianggap tidak lagi berteraskan perjuangan asal menegakkan syiar Islam.

Bekas Setiausaha Cawangan Pas Felda Teloi Timur, Shahril Yahya, 43, yang mewakili ahli tersebut berkata, mereka juga kecewa dengan janji-janji kosong pemimpin parti berkenaan.

Beliau menegaskan, kebanyakan ahli parti bosan dengan janji untuk mempertahankan agama Islam sebaliknya bersekongkol dengan parti pembangkang lain.

“Kami kecewa kerana Pas tidak lagi mahu memperjuang dan mempertahankan kesucian Islam sebaliknya sanggup bersama DAP,” katanya pada majlis penyerahan borang keahlian UMNO yang disampaikan kepada Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd. Tajudin Abdulah seterusnya kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad di Dewan Serbaguna Felda Teloi Timur dekat sini, kelmarin.

Tambah Shahril, mereka memilih UMNO kerana sedar dan yakin hanya parti itu mampu membawa kemajuan dan pembangunan Islam di negara ini dan bukannya Pas.

Shahril turut mendedahkan selama 18 tahun berada dalam parti Pas sudah sampai masanya ahli Pas keluar dan menyokong UMNO.

Ketua Penerangan Pas cawangan itu, Rasidi Sobri, 35, berkata, dia berasa dipermainkan apabila Pas hanya menjadi kuda tunggangan DAP semata-mata.

Katanya, kebanyakan pemimpin Pas tidak lagi memperjuangkan prinsip Islam dan tidak konsisten dengan perjuangan asal parti itu kerana terikut-ikut dengan parti pembangkang lain sekali gus menyebabkan ahli Pas begitu kecewa.

“Sebaliknya tindak tanduk UMNO yang mampu membawa perubahan besar kepada perjuangan memartabatkan Islam dapat dilihat dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Tajuddin berkata, sejak sebulan lalu, beberapa ahli Pas di Parlimen itu termasuk melibatkan saudara terdekat Ahli Parlimen Pas kawasan itu, Che Uda Che Nik membuat keputusan keluar parti.

“Kekesalan dengan Pas amat nyata dan seramai 61 ahli saudara terdekat Ahli Parlimen berkenaan bertindak keluar parti baru-baru ini,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment