My Add

Sunday, 29 January 2012

Fiesta Dataran Nilai 2012 sasar 100,000 orang

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Fiesta Dataran Nilai 2012 yang akan dibuka percuma menyasarkan seramai 100,000 pengunjung dari tiga negeri berdekatan untuk melawat program itu di Nilai, Negeri Sembilan selama empat hari bermula 3 hingga 6 Februari ini.

Fiesta anjuran Koperasi Pembangunan Sukan Malaysia Berhad (Kopsukma) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Nilai (MPN) itu bermula setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 12 malam.

Program sempena ulang tahun ke-10 itu juga dijangka menarik pengunjung dari Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, termasuk Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat Kopsukma, Yus Zanusy Yusuf berkata, fiesta itu juga dijangka akan menarik kehadiran majoriti golongan remaja bersesuaian dengan aktiviti sebagai promosi menjelang Hari Belia Negara 2012 peringkat kebangsaan pada Mei ini.

''Segenap lapisan masyarakat seisi keluarga patut berkunjung ke Fiesta Dataran Nilai 2012 di lokasi strategik itu kerana ia menjanjikan pelbagai acara istimewa, termasuk untuk kanak-kanak,'' katanya pada sidang akhbar fiesta itu di Kompleks Sukan Bukit Jalil, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jualan dan Pemasaran Kopsukma, Zafarali Ali Akarbara, jurucakap program itu penyanyi popular 1980-an Shidee dan para penaja fiesta tersebut.

Yus Zanusy menambah, secara keseluruhan pengisian fiesta itu akan dipenuhi gerai jualan makanan, minuman dan pameran meliputi industri kecil sederhana, sukaneka, futsal pasang serta permainan kanak-kanak.

Di samping itu, katanya, satu majlis Forum Perdana Maulidur Rasul dan persembahan nasyid akan berlangsung pada 5 Februari ini, bermula pukul 8 malam.

Tambahnya, acara menarik lain pada 6 Februari pula ialah pertandingan kereta dan motor kreatif, program BeliaHeboh@Nilai, konsert artis popular tanah air dan pertandingan karaoke.

Yus Zanusy berkata, bagi mereka yang ingin menempah tapak gerai di fiesta itu masih boleh berbuat demikian dengan melayari website www.kopsukma.com atau menghubungi urusetia menerusi telefon 03-89968001, 017-2159784 dan 012-2187494. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment