My Add

Sunday, 29 January 2012

Perda peruntukan RM300,000

JAHARA Abdul Hamid (dua dari kiri) bertanya kepada salah seorang penerima bantuan ekonomi kecil selepas menerima khemah dan peralatan perniagaan di Pulau Pinang, kelmarin.

TASEK GELUGOR, AHAD, 29 Januari, 2012: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membantu 93 penerima bantuan ekonomi kecil di seluruh negeri pada tahun lalu.

Pengarah Pembangunan Insan Perda, Zolkhifli Mohamad berkata, ia meliputi pelbagai jenis bantuan termasuk peralatan dan mesin yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setiap penerima yang kebanyakannya adalah golongan miskin.

“Setiap bantuan yang diberikan berbentuk bantuan kecil bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga dan kita berharap mereka akan dapat menambah jumlah pendapatan dari semasa ke semasa.

“Selain itu, Perda dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan berkunjung semula ke premis dan rumah penerima bantuan bagi memantau perkembangan mereka,” katanya pada program Tanya Khabar di sini, kelmRIN..

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid dan Penolong Pegawai Pertanian RISDA negeri, Nurul Haida Mohd. Nordin.

Antara objektif utama program itu adalah mengenalpasti bentuk bantuan tambahan yang diperlukan oleh penerima tersebut bagi mengembangkan perniagaan mereka pada masa depan.

Zolkhifli berkata, pihaknya mensasarkan untuk membantu 120 lagi penerima bantuan sepanjang tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM500,000 namun, jumlahnya bergantung kepada bentuk bantuan yang diperlukan oleh setiap penerima. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment