My Add

Sunday 29 January 2012

50,000 jangka hadir ke GSPRS

ZU Zarith Ahmad (tengah) bersama peserta menunjukkan poster Pameran Gala Seri Pesona Ratu Sehari di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, AHAD, 29 Januari, 2012: Pameran Gala Seri Pesona Ratu Sehari (GSPRS) 2012 kali ke-15 yang bermula Jumaat lalu hingga 5 Februari ini dijangka mampu menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Penganjurnya, Pengurus Besar Juz Zarith Innovation, Zu Zarith Ahmad berkata, acara yang dijadualkan berlangsung di kompleks beli-belah Plaza Angsana itu berjaya menarik minat 32 butik perkahwinan dan syarikat berkaitan untuk menyertainya.

Katanya, tema acara tersebut pada kali ini ialah Zen Floral Fantasy dan sebahagian peserta adalah mereka yang pernah menyertai GSPRS yang dianjurkan sebelum ini.

“Pada setiap kali penganjuran sebelum ini, kami berjaya menobatkan 14 gadis sebagai juara pertandingan Pesona Rias Wajah Cantik.

“Justeru, pada penganjuran kali ini, kesemua mereka dikumpulkan semula untuk menyertai satu persembahan istimewa iaitu All Star Artistic dan Extravaganza Show,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Bagaimanapun, kata Zu Zarith, pencarian untuk pemenang Pesona Rias Wajah Cantik 2012 tetap diadakan sebagai upacara kemuncak pameran ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain pameran perkahwinan, butik-butik dan syarikat yang terlibat dalam pameran itu turut memberikan diskaun terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Antaranya ialah pakej perkahwinan, produk kesihatan dan kecantikan, syarikat pembuat kek, pengusaha kad jemputan perkahwinan, perkhidmatan fotografi dan pelbagai lagi tawaran daripada usahawan produk berkaitan perkahwinan.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga lebih 10 acara sampingan dan juga cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan untuk bakal pengantin dan pengunjung,” jelasnya.

Beliau berharap, dengan penganjuran acara seperti itu, ia memberi peluang kepada syarikat bumiputera mempromosikan perniagaan mereka selain membantu mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan oleh pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

No comments:

Post a Comment