My Add

Sunday 29 January 2012

Pengguna KB lega

BAS Cityliner beroperasi semula selepas dihentikan sementara di Stesen Bas Kota Bharu, semalam.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU, AHAD, 29 Januari, 2012: Keputusan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) menyambung semula perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di semua laluan, ternyata melegakan pengguna terutama golongan kurang berkemampuan.

Tinjauan Mingguan Malaysia sekitar Kota Bharu semalam mendapati, rata-rata pengguna yang ditemui menyambut baik keputusan SKMK itu selepas syarikat berkenaan menghentikan sementara perkhidmatan bas berkenaan berikutan kerugian dialami.

Seorang pengguna, Azimah Dollah, 29, berkata, penyambungan semula perkhidmatan bas henti-henti itu memberikan kelegaan kepada para pengguna di Kota Bharu yang bergantung kepada pengangkutan awam berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu amat wajar kerana kebanyakan pengguna perkhidmatan bas terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

“Saya harap perkhidmatan ini dapat diteruskan, jika tidak ia pasti akan menyulitkan pengguna untuk ke bandar atau ke mana-mana destinasi di negeri ini. Lagipun, tambang bas lebih murah jika dibandingkan dengan pengangkutan awam yang lain seperti kereta sewa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mingguan Malaysia pada 26 Januari lalu melaporkan keputusan SKMK untuk menyambung semula perkhidmatan bas berkenaan di 31 daripada 39 laluan yang telah dihentikan sejak 15 Januari melibatkan perjalanan kira-kira 100 buah bas.

Seorang pelajar, Nur Farah Syafikah Abdullah, 16, berkata, keputusan SKMK itu banyak membantunya menjimatkan perbelanjaan untuk berulang alik dari Kota Bharu ke Jeli.

“Jika naik teksi saya perlu membayar lebih RM20 untuk perjalanan Kota Bharu ke Jeli. Tetapi dengan perkhidmatan bas saya hanya membayar RM11.20 untuk satu perjalanan,” ujarnya.

Bagi Che Mat Che Ya, 56, dari Kampung Tujoh, Tumpat pula, dia cukup gembira dengan penyambungan semula perkhidmatan bas tersebut yang merupakan pengangkutan utamanya ke tempat kerja.

“Setiap hari saya menggunakan perkhidmatan ini ke tempat kerja di Kota Bharu. Jika sebelum ini saya hanya membayar RM5 untuk perjalanan pergi dan balik, namun sepanjang ketiadaan bas, saya terpaksa membayar hampir RM15 untuk perjalanan serupa,” katanya.


No comments:

Post a Comment