My Add

Sunday, 29 January 2012

Anwar terperangkap dengan agenda Zionis

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Seorang pakar hubungan antarabangsa menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terperangkap dengan agenda licik Israel apabila Ketua Pembangkang itu menyokong agenda melindungi keselamatan rejim Zionis.

GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, sebagai negara yang menyokong sepenuhnya perjuangan pembebasan rakyat Palestin, Anwar walaupun seorang pemimpin pembangkang di negara ini tidak sepatutnya berkata demikian.

Menurutnya, kenyataan Anwar itu jelas bertentangan dengan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat melihat hak rakyat Palestin segera dikembalikan oleh rejim Zionis.

"Sebagai sebuah negara yang menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin, semua rakyat negara ini termasuk pemimpin pembangkang harus bersama-sama mendukung hasrat ini.

"Dengan kata lain, mana-mana pemimpin sekalipun tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan hasrat ini walaupun ia sekadar menyentuh isu keselamatan Israel," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar di dalam wawancaranya bersama The Wall Street Journalkelmarin yang antara lain Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyokong setiap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Dalam perkembangan berkaitan Azmi berkata, sejak dahulu lagi Tel Aviv sering menggunakan agenda keselamatan negara untuk mendapatkan sokongan.

Beliau berkata, melalui strategi licik itu Israel sedaya upaya akan memerangkap mana-mana pihak supaya turut sama menyokong agenda tersebut dan sekali gus memperlihatkan pertentangan dengan usaha membebaskan rakyat Palestin.

"Ini merupakan strategi rejim Zionis. Atas sebab itu semua pihak harus berhati-hati dengan strategi yang digunakan oleh Israel ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, pemimpin dari Malaysia tidak sepatutnya menyokong agenda melindungi keselamatan Israel.

"Kita sebagai pertubuhan bukan kerajaan tidak menyokong Israel kerana mereka dengan jelas telah melanggar undang-undang, melakukan kekejaman dan keganasan kepada rakyat Palestin.

"Sepatutnya, hak rakyat Palestin dikembalikan dan Israel yang merupakan entiti penjenayah tidak layak berada di tanah Palestin," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment