My Add

Sunday 29 January 2012

Ketegasan MT UMNO disokong

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL/YULPISMAN ASLI/RADHUAN HUSSAIN/SYUKRI SHAARI

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Ketegasan Majlis Tertinggi UMNO untuk mengambil tindakan disiplin lebih awal terhadap pemimpin serta ahli yang mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, mesej tersebut jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya setiap pemimpin serta ahli memandang serius hubungan dalaman parti.

"Saya lihat ia sebagai langkah pencegahan supaya tidak ada unsur memporak-peranda atau memecahbelahkan ahli dalam parti.

''Jawatankuasa Disiplin parti juga akan lebih berperanan selepas ini untuk memantau setiap tindak-tanduk ahli supaya tidak ada kegiatan sabotaj dilakukan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Jawatankuasa Disiplin parti itu akan mengambil tindakan disiplin lebih awal ke atas mana-mana pemimpin dan ahli yang cuba mensabotaj parti sebelum PRU13 berlangsung.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, langkah jawatankuasa peringkat pusat itu bergerak sebelum dan semasa pilihan raya umum akan datang merupakan satu tindakan proaktif dan amat terpuji.

"Biar semua orang tahu tidak sewenang-wenangnya orang dalam parti sendiri melakukan sabotaj dan menyokong pembangkang," jelasnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian menegaskan, sejarah lampau membuktikan masalah seperti itu jika tidak ditangani segera akan memberi kesan kepada parti ketika pilihan raya berlangsung. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment