My Add

Sunday 29 January 2012

Askar Wataniah, Felda jalin kerjasama

MACHANG, AHAD, 29 Januari, 2012; Rejimen 506 Askar Wataniah yang berada di bawah naungan Markas 8 Briged, menjalin kerjasama dengan Felda untuk menarik minat generasi muda Felda menjadi anggota pasukan sukarelawan itu yang berperanan sebagai benteng pertahanan negara jika diperlukan.

Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Muhammad Ali Baharun berkata, kerjasama itu telah dimulakan antara bahagian perkhidmatan simpanan rejimen dan pengurusan tertinggi Felda bagi memastikan hasrat tersebut dapat dicapai.

"Pelancarannya akan diadakan di peringkat negeri Kelantan pada Jun nanti dan fokus kita kali ini adalah untuk menarik penyertaan generasi muda Felda menyertai latihan dan menganggotai rejimen.

"Justeru sebagai persediaan awal, saya mengharapkan semua pihak dapat memainkan peranan menggalakkan penyertaan anak-anak muda ini, begitu juga dengan penjawat awam supaya mereka boleh diberi latihan awal sebelum pelancarannya," katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-49 Rejimen 506 Askar Wataniah di sini kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) Kelantan.

Rejimen tersebut yang kini dianggotai 88 pegawai dan 2,573 anggota lain-lain pangkat sebelum ini dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan Kelantan dan ditubuhkan pada 1 Januari 1963.

Muhammad berkata, cogan kata latihan yang digunakan tahun ini adalah 'Berlatih dan Bersiap Siaga Membantu Ganti Angkatan Tetap' yang diharapkan mampu melatih setiap anggotanya untuk menjadi benteng pertahanan kedua negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment