My Add

Tuesday 3 January 2012

Askar Wataniah sedia bantu mangsa banjir

PADANG BESAR, SELAS, 03 Januari, 2012: Askar Wataniah (AW) sentiasa bersedia memberi bantuan kepada mangsa banjir sekiranya tenaga atau khidmat mereka diperlukan khususnya di saat-saat genting.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, namun peranan Askar Wataniah lebih tertumpu kepada mengukuhkan Tentera Darat ketika peperangan atau melakukan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan pasukan tersebut.

"Bantuan daripada anggota tetap Tentera Darat ketika bencana seperti banjir hanya akan dilakukan jika agensi-agensi kerajaan yang lain tidak berkemampuan untuk menanganinya, " titah baginda.

Baginda yang juga Komander 504 AW bertitah demikian ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi dan Dewan Orang Ramai Kampung Mawa di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Titah baginda, bagaimanapun berikutan kekurangan peralatan khusus untuk membantu mangsa banjir seperti bot tempur, treler dan kenderaan lain, AW hanya dapat membantu dari segi keanggotaan apabila diperlukan ketika bencana tersebut berlaku.

"Dalam situasi lebih serius, kemungkinan anggota Rejimen AW dikerahkan membantu anggota tetap menangani banjir yang dihadapi.

"Namun perkara ini perlu diselaraskan dengan pasukan-pasukan Tentera Darat yang lain agar memberi manfaat sepenuhnya daripada aspek bekerjasama dan untuk mengelakkan pertindihan kerja.

"Daripada sudut lain, anggota AW yang terlatih diharap dapat membantu secara persendirian ataupun secara berkelompok di kawasan tempat tinggal atau tempat kerja masing-masing," titah baginda. - UM

No comments:

Post a Comment