My Add

Tuesday 3 January 2012

Pembangkang bersikap pilih kasih - Ezam

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Parti pembangkang membuktikan mereka bersikap pilih kasih apabila memperbesar-besarkan isu berkaitan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC).

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor berkata, sebaliknya mereka terus membisu apabila dicabar supaya mendesak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan dan bertanggungjawab dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman berhubung dakwaan penyelewengan.

"Justeru saya ingin memberi ingatan kepada pihak pembangkang supaya berhenti mempolitikkan isu serius hanya untuk keuntungan politik parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan berhubung kes NFC.

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan pula iaitu Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) dan Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) mempersoalkan kenapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil SPRM berhubung siasatan terhadap Ariffahmi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Jelas Ezam, Shahrizat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau seharusnya dinilai berdasarkan prestasi kementerian yang menjadi tanggungjawabnya.

"Namun bagi kes menantu Nik Aziz, ia lebih jelas kaitannya kerana agensi itu di bawah tanggungjawab Menteri Besar Kelantan sendiri," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan sifat keterbukaan dalam menangani soal serius membabitkan ekonomi termasuk kes NFC.

No comments:

Post a Comment