My Add

Tuesday 3 January 2012

Tahun Melawat Perak 2012 dilancar

IPOH, SELASA, 93 Januari, 2012: Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 sempena sambutan tahun baru 2012 yang dihadiri oleh lebih 5,000 pengunjung di Stadium Indera Mulia di sini, tengah malam semalam.

Pelancaran itu melakar sejarah baharu dalam pembangunan industri pelancongan Perak yang dijangka menerima kehadiran lima juta pelancongan tahun ini.

Upacara sambutan tersebut diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut merasmikan secara serentak Fiesta Pelancongan Perak dan Ambang 2012.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Berucap pada majlis itu, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, 2012 bakal menyaksikan satu detik penting bagi negeri ini iaitu bermulanya TMP 2012.

Zambry turut menyeru setiap lapisan rakyat supaya menunjukkan identiti dan keramahan mereka sepanjang TMP bagi menjadikan Perak antara negeri yang terkenal dalam pelancongan dunia.

"Wajah-wajah rakyat Perak yang akan kita tunjuk kepada para pelancong. Kita tonjolkan keramahan dan identiti rakyat Perak.

"Kita tidak hanya menunjukkan kehebatan bangunan-bangunan yang kita ada kerana orang akan ingat keramahan serta budi baik yang kita tonjolkan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua rakyat, beliau yakin sasaran lima juta pelancong pada TMP 2012 dapat dicapai.

Zambry memberitahu, kerajaan negeri telah membuat segala persiapan dan sudah bersedia untuk menyambut kehadiran pelancongan sepanjang TMP.

"Perak juga akan meneruskan agenda yang telah dilakar dalam wawasan Perak Amanjaya dan berharap matlamat untuk mencapai negeri maju dapat dicapai," tambah beliau.

Terdahulu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan oleh artis-artis terkemuka tempatan seperti Ramli Sarip, Adam AF, Baby Shima selain menampilkan pengacara popular, Datuk AC Mizal. - UM

No comments:

Post a Comment