My Add

Sunday 29 January 2012

Bela miskin bandar

NOH Omar diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Ir, Muhammad Bushro Mat Johor ke majlis perasmian program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama rakyat di kawasan Perumahan Sri Cemara, Bandar Baru Sri Damansara, semalam.

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Barisan Nasional (BN) Selangor akan menjadikan usaha mengatasi miskin bandar di negeri itu antara manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di luar bandar malah ia turut berlaku di bandar seperti di Selangor.

Selain itu, katanya, masalah-masalah yang dihadapi penduduk flat kos rendah seperti ketiadaan prasarana sempurna juga akan mendapat pembelaan di bawah manifesto berkenaan.

''Ini menunjukkan (masalah kemiskinan) di bandar pun harus diberikan perhatian kerana pembelaan kemiskinan ini mesti dilihat seimbang di bandar dan kawasan luar bandar.

''Oleh itu, pembelaan kemiskinan bandar akan menjadi salah satu manifesto BN dan Insya-Allah kalau BN diberikan kepercayaan semula oleh rakyat Selangor, kita janji, kita akan buat lebih baik.

''Saya yakin kalau diberikan peluang kedua, maka saya boleh berikan keyakinan bahawa BN akan berikan satu perubahan dan harapan yang baru di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama rakyat Parlimen Subang di Kawasan Perumahan Sri Cemara di sini, semalam.


Noh dalam pada itu membidas kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor kerana gagal melaksanakan manifesto mereka untuk membina premis perniagaan dan membela nasib peniaga di negeri itu.

Pada masa ini, katanya, beliau hanya melihat kerajaan negeri mengambil tapak dan kompleks perniagaan yang disediakan kerajaan terdahulu serta menaikkan kadar sewa sehingga membeban dan memberi tekanan kepada peniaga sedia ada.

''Kita lihat, sewa-sewa premis perniagaan dinaikkan, orang yang telah berniaga dalam pasar terpaksa dikeluarkan, malah, peniaga pasar tani turut tidak terkecuali apabila sewa tapak sedia ada turut dinaikkan.

''Justeru, di mana janji mereka hendak bagi pembelaan kepada rakyat? Sebab itu kalau kita sayangi Selangor, kita kena yakini kerajaan BN sebab kita lihat kerajaan pembangkang ini mereka tahu ambil-alih tetapi tidak tahu mengurus," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment