KUALA LUMPUR, AHAD, 29Januari, 2012: Tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menurunkan 10 kain rentang mengenai siri jelajah bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menunjukkan kerajaan negeri di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini jelas bertentangan dengan prinsip yang sering dilaungkan sebelum ini kononnya mereka adalah pejuang kebebasan rakyat.
"Dahulu, mereka lantang memperjuangkan hak tersebut dengan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat hak bersuara, tetapi kini sebaliknya berlaku.
"Setelah berjaya memegang kuasa, mereka menyekat kebebasan tersebut. Jelas pendirian mereka sudah berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran dan Perasmian Koperasi Melayu Petaling Berhad (Kopeta) di sini, semalam..
Noh menegaskan kini terdapat dua individu yang dianggap parti pembangkang mampu menggugat kedudukan mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, dua tokoh tersebut ialah Hasan dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin.
"Kedua-duanya dahulu antara pemimpin tertinggi pembangkang kini giat mendedahkan salah laku dan kepincangan yang berlaku dalam parti itu.
"Setahu saya, setiap ceramah yang diadakan mendapat sambutan dan ini amat membimbangkan pembangkang,'' ujarnya.
Beliau berkata, rakyat kini sudah sedar untuk menilai kerajaan yang lebih prihatin dan mampu membawa negara serta rakyat maju dalam pelbagai bidang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment