ZAHRAIN Mohamed Hashim (dua dari kanan) bersama Ruslan Kassim (dua dari kiri) pada program Debat Rakyat: Seksualiti Merdeka Ancaman Ummah di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, AHAD, 29 Januari, 2012: Barisan Nasional (BN) diyakini mampu kembali menguasai kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang ekoran sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap parti itu.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, sokongan masyarakat Melayu terhadap BN kini meningkat 60 peratus ekoran kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memimpin negeri ini dengan baik selain isu pemecatan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hasan Ali.
"PKR dan Pas mungkin menyangka yang akan mengundi undi mereka nanti adalah kaum Cina, sebab itu mereka mahu menjaga kepentingan penyokong kaum Cina sehingga sanggup mereka buat keputusan untuk memperlekehkan Datuk Dr. Hasan Ali yang berjuang atas isu Islam dan Melayu. Saya yakin akan berlaku perubahan besar dalam pilihan raya akan datang di Selangor.
"Saya percaya DAP akan memenangi semua kerusi yang mereka tandingi tetapi tidak boleh membentuk kerajaan Selangor. Oleh sebab itu saya rasa yakin pakatan pembangkang akan gagal membentuk kerajaan negeri, kali ini atas kekalahan yang dihadapi oleh Pas dan PKR. Kita mahu mengingatkan Pas dan PKR ini semua kerusi orang Melayu. Ini yang jadi isunya," katanya.
Beliau yang juga merupakan ahli konsensus Bebas berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 200 hadirin pada program Debat Rakyat: Seksualiti Merdeka Ancaman Ummah di Batu7, Jalan Kebun di sini malam semalam.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penerangan Perkasa (Perkasa), Ruslan Kassim.
Sementara itu, Ruslan ketika menyampaikan ucapannya menyifatkan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini kini berdepan dengan krisis nilai, pemikiran, kepercayaan, keyakinan dan kepimpinan termasuk akidah hasil daripada tindak-tanduk pakatan pembangkang yang sering mencetuskan persepsi melalui fitnah dan sebagainya.
Katanya, krisis sedemikian dilihat cukup bahaya kerana ia bukan hanya mengelirukan pemikiran, tetapi juga membawa kepada pergolakan serta perpecahan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Sebagai contoh, pembangkang sering menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai sesuatu entiti yang begitu teruk, hitam dan najis mughallazah. Hakikatnya BN memberi jasa begitu banyak kepada pembangunan masyarakat dan membentuk perpaduan masyarakat di negara ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment