My Add

Sunday 29 January 2012

PPP mohon 4 kerusi Parlimen, 10 DUN

KOTA BHARU, AHAD, 29Januari, 2012: PPP bercadang mahu bertanding di empat kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naib Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, kesemua kerusi Parlimen dan DUN terbabit terletak di Kelantan, Selangor, Perak, Pulau Pinang atau Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan PPP untuk bertanding di kawasan terlibat bertujuan membantu Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan terutama di Kelantan.

Selain itu, ia mengambil kira bilangan penyokong parti itu yang semakin bertambah dianggarkan berjumlah lebih 600,000 orang di seluruh negara.

"Kita bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan jumlah kerusi yang hendak diberikan kepada PPP," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, pada pilihan raya umum 2008, PPP hanya bertanding di dua kerusi masing-masing satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN.

"Justeru, penyertaan PPP pada PRU13 diharap dapat membantu kemenangan BN mengambil kira senario politik semasa dan sentimen rakyat sekarang," katanya.

Mengenai Kelantan, beliau menyifatkan BN berpeluang cerah untuk merampas kembali negeri ini daripada Pas mengambil kira 'Skim Masuk Syurga' ala Pas yang ditawarkan parti itu dalam beberapa pilihan raya lalu semakin tidak mendapat tempat khususnya generasi muda.

Beliau turut mendakwa, Pas semakin menerima 'tulah' berikutan kenyataan pemimpin mereka yang selama ini suka menghentam dan menuduh UMNO sebagai kafir kerana menolak Islam.

''Tetapi kini Pas menjalin kerjasama dengan DAP semata-mata untuk mendapat kuasa. Dakyah Pas kononnya undi parti itu masuk syurga, sebab itu Pas tidak peduli soal membangunkan rakyat dan negeri kerana mereka yakin 'Skim Masuk Syurga' Pas diterima oleh rakyat.

"Sebab itu, rakyat Kelantan dulu sokong Pas walaupun ia meletakkan calon kurus berjanggut dan gemuk berkopiah berbanding calon UMNO yang kacak, peramah dan dermawan serta banyak membawa kemudahan. Zaman itu sudah berlalu, orang Kelantan kini berdiam diri dan apabila pilihan raya, mereka akan membuat keputusan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment