My Add

Saturday 28 January 2012

Felda tetap jadi syarikat milik orang Melayu

MOHD. Isa Abd. Samad beramah mesra dengan orang kurang upaya, Noridah Mohd. Hushim pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Felda Teloi Timur, Sik, Kedah, semalam. - BERNAMA

SIK, SABTU, 28 Januari, 2012: Penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) tidak akan melemahkan fungsi Felda sebaliknya ia akan tetap terus menjadi syarikat milik orang Melayu dan kepentingan mereka terus terjaga.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, pelbagai persepsi buruk dan kecaman yang dilontarkan terhadap perkembangan tersebut adalah sekadar bermotifkan politik.

"Peneroka Felda perlu tahu, ini hanya mainan pembangkang untuk mengelirukan mereka kerana syarikat milik Felda ini adalah hak orang Melayu, ia akan tetap terjaga dan menjadi milik orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada peneroka Felda Teloi Timur di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah.

Menurutnya, pembangkang akan terus menyebarkan tohmahan terhadap usaha tersebut kononnya kepentingan orang Melayu dalam Felda akan terjejas dan terlepas ke tangan pihak lain.

"Ini permainan politik pembangkang dan akan terus dimainkan mereka sehingga pilihan raya kelak, lepas pilihan raya nanti isu itu akan senyap," katanya.

Katanya, Felda juga masih mempunyai banyak tanah di negeri-negeri tertentu dan jika ada kerajaan negeri tidak membenarkan pengambilan itu, ia terpulang kepada mereka.

"Kita masih banyak tanah, kalau kerajaan negeri pembangkang enggan membenarkan, kita tidak mempunyai masalah, terpulang kepada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan taklimat tersebut, beliau berharap masyarakat Felda akan terus menghargai kerajaan yang sentiasa mengambil kira kepentingan mereka.

Tambahnya, kerajaan akan terus menjaga nasib peneroka dan tidak akan sekali-kali membiarkan mereka terpinggir.

"Buktinya sudah jelas apabila peneroka banyak menikmati kemudahan malah pembangunan untuk mereka sentiasa diberi perhatian," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment