My Add

Saturday 28 January 2012

Kelab Taat Suami guna pelbagai helah kaburi pihak berkuasa

KOTA BHARU, SABTU, 28 Januari, 2012: Pihak berkuasa agak sukar mengambil tindakan ke atas kepemimpinan Kelab Taat Suami (KTS) kerana pertubuhan haram tersebut amat licik untuk menutup setiap pergerakannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kumpulan itu akan menggunakan pelbagai helah untuk berkumpul dan menyebarkan fahaman mereka yang menyeleweng daripada Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam di seluruh negara akan sentiasa memantau kelab tersebut bagi mengelakkan ia berkembang.

"Bila bercakap pasal tindakan, ia sentiasa berterusan. Di antara tindakan paling besar ialah mengharamkan pertubuhan ini tetapi mereka pun bijak bergerak dengan menggunakan nama yang pelbagai.

"Tindakan tidak boleh sebarangan begitu, kita perlu bukti kukuh untuk dibawa ke mahkamah dan bukannya hanya cakap kosong," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Guru-Guru KAFA Parlimen Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Perak menyerbu forum seks yang dianjurkan oleh Kelab Taat Suami di Ipoh kelmarin.

KTS turut melancarkan Kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam yang disifatkan oleh tokoh agama sebagai menyeleweng kerana merendah-rendahkan baginda.

Jamil Khir berkata, penubuhan kelab tersebut baik di sisi Islam tetapi promosi seks yang dilakukannya menyimpang daripada ajaran agama suci itu.

"Cantik kelab taat suami ini, cuma yang tidak cantik ialah yang dipromosi tentang seksnya, kemudian diletakkan Rasululullah sebagai ikon yang membicarakan dengan panjang lebar tentang seks.

"Sedangkan tanggungjawab dalam Islam banyak, lebih-lebih lagi mengenai pendidikan anak-anak, pembangunan ekonomi sosial dan masyarakat termasuk rumah tangga.

"Kempen ini menggambarkan kita merendah-rendahkan martabat Rasulullah SAW sebagai nabi yang membawa utusan untuk kebaikan dunia dan akhirat tetapi nampaknya difokus kepada kepentingan nafsu yang menyimpang daripada Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment