My Add

Friday 27 January 2012

Himpun sangkal guna tanda tangan palsu exco

GEORGE TOWN, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) hari ini menafikan mereka mengeluarkan surat yang didakwa menggunakan tandatangan palsu anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim.

Pengarah Urusetia Himpun negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pihaknya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kepada mana-mana masjid.

"Kami tidak perlu mengeluarkan surat untuk mengajak umat Islam menghadiri perhimpunan ini. Sudah sebulan kami gunakan segala ”networking” yang ada untuk menguar-uarkan Himpun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau juga tidak tahu siapa yang mengeluarkan surat terbabit yang dikatakan ditandatangani Abdul Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang.

Perkara itu dilapor sebuah portal berita yang antara lain menyebut surat tersebut memaparkan logo kerajaan negeri dan disebarkan kepada jawatankuasa masjid, meminta mereka menghadiri Himpun yang akan diadakan di Kepala Batas, esok. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment