My Add

Tuesday 3 January 2012

Isu Madrasah Salihiah ke SPRM

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
ALOR SETAR, SELASA, 03 Januari, 2012:Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu merobohkan Madrasah Salihiah di sini yang dibenarkan oleh kerajaan negeri bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Pengerusinya, Mansor Ahmad berkata, laporan itu dibuat kerana mereka mengesyaki sesuatu tidak kena dalam keputusan tersebut apabila kerajaan Pas Kedah dilihat begitu beria-ria mahu mengambil tindakan tersebut.

Katanya, tindakan itu menjadi tanda tanya di kalangan ahli kariah madrasah dan berharap siasatan SPRM dapat meleraikan persoalan tersebut.

“Kenapa kerajaan negeri nak roboh sangat madrasah seolah-olah ada agenda tersembunyi. Kita tidak menuduh sesiapa cuma mahu siasatan secara adil dan telus diadakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mansor, antara persoalan yang menjadi tanda tanya pihaknya adalah sama ada penjualan tanah wakaf yang didirikan madrasah itu direkodkan di dalam minit mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Katanya, persoalan itu timbul kerana jawatankuasa madrasah tidak menerima salinan dokumen berhubung perkara berkenaan.

“Jawatankuasa madrasah mempunyai hak untuk menerima salinan dokumen berhubung keputusan itu. Apabila diminta, sehingga kini ia tidak dikemukakan,” katanya yang memberitahu laporan SPRM itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mansor memberitahu, BBSMS akan melancarkan tabung wakaf RM1 bagi mengumpul dana sebanyak RM1.48 juta dalam usaha menebus semula tanah wakaf khas berusia lebih 100 tahun itu.

Katanya, hasil kutipan daripada rakyat Malaysia itu akan diserahkan kepada MAIK yang merupakan pemegang amanah tanah wakaf serta masjid di negeri ini kerana telah menerima pampasan sejumlah RM1.48 juta.

“Jika misi ini berjaya, kami mahu MAIK menyerahkan semula geran tanah wakaf ini yang diberikan kepada mereka pada 2003.

“Sekiranya MAIK menolak wang tersebut, sumbangan orang ramai ini akan dimanfaatkan untuk mengembangkan syiar Islam termasuk membina lebih banyak lagi surau di negeri ini,” katanya.

Mansor menegaskan, pihaknya bukan mahu mencari keuntungan daripada dana wakaf tersebut sebaliknya ingin mengembangkan jariah wakaf demi kepentingan umat Islam.

Katanya, pihaknya bersikap terbuka dalam hal ini dengan membenarkan pihak berkuasa untuk memeriksa akaun dana tersebut apabila ia dilancarkan kelak.

“Dana wakaf ini akan dilancarkan dalam tempoh terdekat. Keprihatinan umat Islam dan rakyat Malaysia dapat membantu BBSMS mengumpul dana berkenaan.

“Hasil kutipan daripada rakyat Malaysia akan diumumkan dari semasa ke semasa bagi menggalakkan lebih ramai pihak menyumbang,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment