My Add

Tuesday 3 January 2012

Polis siasat semua bukti gambar, video

Oleh ROZIANAH RISMAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Polis akan memuat turun segala gambar dan video sebagai bukti bahawa tiada kekerasan digunakan bagi meleraikan kira-kira 70 pelajar yang menyertai perhimpunan haram anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak semalam.

Selain itu, dakwaan berunsur fitnah dalam beberapa blog berhubung isu pelajar universiti dipukul oleh polis sehingga patah tulang rusuk dalam perhimpunan tersebut turut disiasat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pegawai khas akan dilantik bagi memantau dan menyiasat blog-blog yang menyebarkan tuduhan palsu terhadap pasukan itu.

"Tuduhan polis mengasari pelajar berkenaan sengaja direka cipta sebagai satu usaha menjatuhkan imej polis sekali gus meraih sokongan masyarakat bagi 'menghalalkan' tindakan mereka.

"Polis terlebih dahulu telah berunding dan menasihatkan mereka supaya bersurai namun, mereka tetap berdegil. Bagaimanapun, kita tidak menggunakan kekerasan dan senjata untuk mendesak mereka supaya bersurai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Polis semalam menafikan menggunakan kekerasan ketika meleraikan kira-kira 70 pelajar yang menyertai perhimpunan haram anjuran SMM di UPSI awal pagi kelmarin.

Dalam perhimpunan haram itu, dua pelajar cedera apabila keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal selepas kumpulan penuntut yang menyertai perhimpunan tersebut cuba melarikan diri selepas di arah bersurai.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri memberitahu, pihaknya lebih awal telah menugaskan beberapa jurugambar polis bagi merakamkan kejadian tersebut sebagai bukti polis tidak menggunakan kekerasan.

"Justeru, apabila blog-blog menyebarkan fitnah bahawa polis mengasari pelajar, kami sudah sedia bukti untuk mematahkan dakwaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku semasa perhimpunan itu hanyalah keadaan kelam kabut di mana pelajar cuba melarikan diri semasa diarahkan bersurai.

"Bagaimanapun, dalam keadaan yang kelam kabut dan tidak terkawal, ada pelajar yang terjatuh dan melanggar dinding kaca sebuah klinik sehingga mengalami kecederaan.

"Ada yang sengaja berbaring di atas jalan bagi menunjukkan seolah-olah mereka dikasari polis," katanya.

Ketika ditanya berapa kerugian ditanggung pemilik klinik yang dirempuh dua pelajar semasa perhimpunan haram itu, Mohd. Shukri berkata, kos kerosakan dianggarkan lebih daripada RM5,000. - UM

No comments:

Post a Comment