My Add

Saturday 28 January 2012

Pewakaf kecewa terhadap MAIS

KAMAROLZAMAN Hajar menunjukkan keadaan salah sebuah rumah teres yang rosak teruk selepas diwakafkan kepada MAIS di Desa Fahmi, Kapar, Klang, semalam.

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
KLANG, SABRU, 28 Januari, 2012: Seorang doktor yang mewakafkan 26 unit rumah teres dan sebuah banglo yang dibina di atas tanah miliknya kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk digunakan oleh anak-anak yatim, kecewa apabila melihat harta wakaf itu tidak dimanfaatkan oleh agensi agama tersebut.

Lebih menyedihkan apabila kesemua rumah teres yang dibina di atas tanah berukuran 0.6 hektar di Desa Fahmi, Jalan Bakti, Kapar di sini itu berada dalam keadaan yang sangat teruk kerana tidak diselenggara dengan baik oleh MAIS yang diamanahkan untuk menjaga hartanah tersebut.

Pewakaf tersebut, Dr. Kamarolzaman Hajar berkata, hatinya luluh dan kecewa apabila melihat keadaan kesemua unit rumah yang dibinanya dengan sempurna berada dalam keadaan teruk dan tidak terjaga.

Keadaan sebuah unit rumah banglo juga tidak terjaga, tetapi beliau mengambil inisiatif menggunakan duit sendiri untuk membaikinya dan mula menempatkan 25 anak yatim selepas ia siap dibersihkan pada 22 Januari lalu.

“Saya sedih kerana MAIS sebelum ini berjanji untuk menjaga harta yang diwakafkan untuk kegunaan mereka yang memerlukannya dengan baik, tetapi keadaannya jelas berbeza hari ini.

“Ia sekali gus membuatkan saya tidak lagi percaya dengan MAIS kerana tindakan mereka itu jelas tidak Islamik dalam menjalankan amanah yang diberikan,” katanya kepada pemberita di Desa Fahmi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Kamarolzaman berkata, kesemua rumah berkenaan mula dibina pada 1998 dan ia siap sepenuhnya dua tahun kemudian iaitu pada 2000.

Pada mulanya ia disewakan sebelum diwakafkan pada Jun 2006, katanya.

Beliau kecewa apabila baru-baru ini pihaknya difahamkan yang MAIS berhasrat meruntuhkan kesemua rumah berkenaan bagi membina sebuah pangsapuri empat tingkat dengan 60 unit rumah untuk tujuan komersial.

“Walaupun telah beberapa kali berjumpa dengan pihak bertanggungjawab, termasuk pegawai atasan MAIS untuk memaklumkan mengenai kekecewaan saya ini, tidak ada jalan penyelesaian ditemui,” katanya.

Justeru beliau berkata, pihaknya merancang untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama bagi memaklumkan kepada baginda mengenai masalah yang sedang berlaku.

“Sekiranya, pihak MAIS dan Menteri Besar yang baru dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Agama di negeri ini masih gagal menyelesaikan masalah ini, saya akan menghadap Sultan Selangor selaku ketua agama untuk melaporkan kepada baginda tentang perkara ini,” tegasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di desa itu mendapati, ia tidak dijaga dengan baik, malah keadaannya juga amat daif dengan pagar, pintu, tingkap serta besi penutup longkang kesemuanya telah hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab. - 

No comments:

Post a Comment