My Add

Sunday, 29 January 2012

Pemuda UMNO kecam ketua pembangkang

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengecam sekeras-kerasnya kenyataan pro-Israel oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara bersama The Wall Street Journal, kelmarin.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, berdasarkan perkembangan terbaru itu, Anwar seolah-olah cuba mengampu ‘rakan-rakan tertentu’, kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berdiri teguh di belakang rejim Israel.

Menurutnya, isu keselamatan Israel tidak sepatutnya ditimbulkan kerana pihak yang tertindas selama ini adalah rakyat Palestin dan bukannya rejim Zionis itu.

“Di kala rakyat Palestin menderita di bawah rejim Zionis itu, ada pemimpin Malaysia yang mahu membantu Israel yang cukup dengan peralatan tentera termasuk kuasa nuklear serta mendapat sokongan padu dari negara-negara Barat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar di dalam wawancaranya bersama The Wall Street Journal, kelmarin yang antara lain Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyokong setiap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zaki yang juga Pengerusi Aman Malaysia berkata, kenyataan Anwar itu bercanggah dengan pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dan keselamatan bagi negara Palestin.

“Malah pendirian tersebut telah dizahirkan oleh Parlimen Malaysia berkali-kali dengan mendapat sokongan parti kerajaan dan pihak pembangkang termasuk parti Anwar sendiri. Namun apabila ditanya oleh media luar, pendiriannya bercanggah pula,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment