My Add

Saturday 28 January 2012

Penjelasan MAIS

SHAH ALAM, 28 Januari, 2912: Sebanyak 26 buah rumah teres di Desa Fahmi Kapar, Klang dekat sini yang diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2006 dikosongkan awal tahun ini kerana tidak selamat untuk didiami.

Setiausaha MAIS, Mohd. Haniff Hassan berkata, pengosongan itu bagi membolehkan kerja penyenggaraan dibuat berperingkat-peringkat selepas siasatan mendapati pembinaannya tidak menepati spesifikasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menambah, MAIS perlu mencari dana tambahan bagi menanggung kos penyelenggaraan itu dan semasa proses itu semua barangan seperti pintu, gril, kipas, tangki air dan lain-lain dibuka serta disimpan bagi mengelak kecurian.

"Pada peringkat awal penerimaan kesemua premis tersebut, MAIS telah mengambil inisiatif mendahulukan golongan yang memerlukan dengan menyerahkan banglo kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk dijadikan Rumah Warga Emas.

"MAIS turut menyewa rumah teres yang sedia ada dan hasil sewaan disalurkan kepada Akaun Manfaat Wakaf. MAIS juga melaksanakan langkah-langkah keselamatan serta penyelenggaraan premis secara berkala.

"Namun pada penghujung 2010, premis tersebut didapati tidak selamat didiami dan terpaksa dikosongkan pada awal tahun 2011 untuk kerja-kerja penyelenggaraan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr. Kamarolzaman Hajar yang kecewa apabila 26 unit rumah teres dan sebuah banglo yang diwakafkan kepada MAIS untuk digunakan oleh anak-anak yatim tidak dimanfaatkan oleh agensi agama itu.

Kamarolzaman yang juga merupakan seorang pewakaf mendakwa, semua rumah teres yang dibina di atas tanah berukuran 0.6 hektar itu berada dalam keadaan yang sangat teruk kerana tidak diselenggara oleh MAIS yang diamanahkan untuk menjaga hartanah terbabit.

Dalam pada itu, Mohd. Haniff turut merakamkan terima kasih kepada Kamarolzaman kerana mewakafkan 26 rumah teres dan banglo kepada pihaknya.

Ujar beliau, MAIS sentiasa berusaha untuk membaiki premis berkenaan dan komited melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah wakaf tunggal dan usaha ini dijalankan berterusan dengan penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment