Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
JASIN, AHAD, 29 Januari, 2012: Kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan melaksanakan pelbagai program dalam usaha menggalakkan kira-kira 14 juta penduduk dari Medan, Indonesia berkunjung ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, lawatan BBP ke Medan selama tiga hari mulai 20 hingga 24 Januari lalu adalah langkah strategik mempromosikan Melaka di kalangan penduduk di Sumatera Barat itu.
Menurutnya, rombongan itu disertai kira-kira 200 peserta daripada pelbagai agensi pelancongan dan perhotelan akan mengadakan promosi dan pameran besar-besaran di Hotel Ayuduta.
Beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan kedatangan penduduk Medan ke negeri ini dalam sektor pelancongan kesihatan yang mencecah 80,000 orang tahun lalu.
"Mudah-mudahan promosi kali ini akan membuka lembaran baru untuk menarik lebih ramai penduduk dari Medan dengan sasaran kedatangan pelancong lebih daripada 80,000 untuk tahun ini.
"Selain sektor pelancongan kesihatan, promosi turut ditumpukan kepada peluang-peluang melanjutkan pelajaran di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang terdapat di negeri ini.
"Jika sasaran ini dicapai secara tidak langsung penerbangan dari Melaka-Medan melalui Melaka Air akan ditambah setiap hari," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau meminta syarikat-syarikat pelancongan di negeri ini menyediakan pakej pelancongan yang menarik bagi menggalakkan pelancong dari Medan berkunjung ke negeri Melaka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment