My Add

Sunday 29 January 2012

RM82.1j untuk bekalan air, elektrik

KUALA KRAU, AHAD, 29 Januari, 2012:Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM82.1 juta bagi projek bekalan air dan elektrik di kawasan kampung tradisional dan perkampungan Orang Asli yang terletak dalam Parlimen Kuala Krau pada tahun ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi projek bekalan air, manakala selebihnya bagi bekalan elektrik yang ditumpukan di kampung tradisional.

''Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di kampung-kampung tradisional di tepi Sungai Pahang serta perkampungan Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) peringkat kedua kepada 233 penduduk kawasan Parlimen Kuala Krau di Dewan Datuk Abdullah Kia Kerdau di sini kelmarin..

Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau menegaskan, program bantuan yang dilaksanakan itu membuktikan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang menunaikan janji.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat apabila sebahagian besar janji pilihan raya termasuk ketika Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau lalu sudah dilaksanakan.

''Justeru, saya menggesa orang ramai supaya menggunakan saluran betul seperti wakil rakyat, penghulu dan ketua kampung untuk menyalurkan masalah kerana BN adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

''Memberi maklumat kepada pihak lain terutamanya pembangkang hanya akan mengundang lebih banyak masalah kerana mereka tidak tahu untuk menanganinya," jelasnya.

Mengenai BRIM, beliau berkata, mereka yang gagal mendapat bantuan pada peringkat pertama dan kedua boleh memohon semula sebelum 15 Februari hadapan.

''Bagaimanapun, BR1M hanya boleh diberikan kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Borang permohonan boleh didapati di pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat Daerah, wakil rakyat, penghulu, ketua kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jabatan jabatan kerajaan terpilih," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment