My Add

Monday 2 January 2012

‘Tolak Anwar demi masa depan’

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan S Anand Kumar
Rakyat diminta beri perhatian pelbagai pendedahan mengenai Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Januari, 2012: Majoriti pemimpin yang sebelum ini dianggap sebagai ‘orang kuat’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kini yakin rakyat sudah arif tembelang sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang hanya berjuang untuk kepentingan dirinya. 

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, berkata sudah tiba masa untuk rakyat memberi perhatian serius kepada pelbagai pendedahan yang dibuat dari semasa ke semasa mengenai Ketua Pembangkang itu termasuk yang terbaru daripada Raja Petra Kamarudin.

“Saya yakin ramai lagi akan setuju dengan kenyataan Raja Petra bahawa beliau (Anwar) sudah tidak lagi relevan dalam politik..., banyak peluang diberikan kepada Anwar tetapi dia tidak menunjukkan prestasi atau khidmat terbaik sebaliknya hanya pandai berpolitik.

“Jangan salahkan rakyat jika mereka menolak pemimpin yang hanya minat politik sebaliknya tidak memberi sebarang sumbangan atau khidmat yang cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Kelmarin, Raja Petra berkata Anwar yang berdepan tuduhan liwat, tidak lagi relevan dan kerjaya politiknya akan berkubur jika pembangkang gagal menakluk Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang. 

Beliau berkata, dengan keadaan pembangkang yang ‘huru-hara’ akibat masalah dalaman dan ketidakupayaan Anwar mempertahankan Selangor, peluang parti itu menang semakin tipis. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, berkata sebagai pemimpin yang mendapat mandat daripada rakyat, mereka tidak seharusnya menjadikan Putrajaya sebagai misi utama. 
“Sebagai wakil rakyat kita harus bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara bukan setiap masa bercakap mengenai Putrajaya..., apatah lagi kini Raja Petra juga ada membuat pendedahan..., kini rakyat juga sudah tahu mengenai Anwar,” katanya. 

Bekas peguam Anwar yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Datuk Zulkifli Noordin turut bersetuju dengan Raja Petra bahawa Anwar sudah tidak lagi relevan dan rakyat perlu menolaknya demi masa depan negara. 

Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong, berkata sejak 2004 apabila Anwar bebas dari penjara, PKR beralih menjadi parti yang hanya membela dan memperjuangkan agenda peribadinya malah siri jelajahnya ke seluruh negara bermula hari ini menjelang keputusan bicara kes liwatnya 9 Januari depan, membuktikan dia mempergunakan jentera parti untuk diri. 

“Kes liwat adalah masalah peribadinya dan ia bukan isu parti tetapi mengapa perlu Anwar kerahkan seluruh jentera parti. Ini sebab mengapa semakin ramai meninggalkan parti itu. 

“Bukti makin jelas ramai keluar PKR selepas Anwar yang melantik dirinya sebagai penasihat PKR, menggunakan kuasa veto dan memasukkan seluruh saudara maranya dalam pelbagai jawatankuasa kerja dan pimpinan pusat. 

“Jadi tidak hairan mengapa Raja Petra yang sebelum ini menjadi pendukung Anwar kini turut menolaknya,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment